Zionis tuduh UNDP bantu Hamas

BEIT LAHM, 9 Ogos 2016 (WB) — Setelah menuduh pertubuhan kebajikan World Vision memindahkan dana kepada pergerakan Hamas pada minggu lalu, rejim Zionis hari ini menuduh agensi United Nations Development Program (UNDP) pula membantu Hamas, setelah menangkap seorang pekerja agensi tersebut.

Kementerian Luar Zionis dalam kenyataan mereka menyebut PBB telah dimaklumkan tentang penahanan seorang jurutera Palestin, Waheed al-Bursh, yang bekerja di UNDP atas tuduhan menyalah guna kuasa bagi membantu pertubuhan Hamas. Waheed dituduh memindahkan 300 tan sampah runtuhan dalam projek pembersihan kendalian UNDP ke sebuah tempat yang dikendalikan oleh Hamas.

Wakil khas UNDP, Roberto Valent, mendakwa bahawa UNDP menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan mengamalkan ketelusan yang tinggi, serta mendesak supaya tuduhan ke atas Waheed dibuat mengikut proses undang-undang dan perbicaraan yang adil.

Hamas mengecam tuduhan tersebut, menyifatkannya sebagai salah satu langkah Zionis untuk mengekang peranan NGO di Gaza serta mengetatkan lagi sekatan ke atas penduduk Gaza.

Pihak perisikan Zionis, Shin Bet, minggu lalu menuduh World Vision menyalurkan dana sebanyak $US50 juta kepada Hamas. Namun Ketua Eksekutif World Vision International, Kevin Jenkins, mempertikai tuduhan tersebut. Menurut beliau, bajet operasi World Vision di Gaza sepanjang 10 tahun hanyalah sekitar $US22.5 juta.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts