Kenali Dan Cintai Masjid Al-Aqsa

Masjid Al-Aqsa merupakan isu pusat dalam setiap permasalahan yang terjadi di dunia Islam. Penjajahan Zionis ke atas wilayah tersebut telah banyak menimbulkan kerosakan dan kehancuran. Tapak-tapak sejarah Islam di kawasan Masjid Al-Aqsa kini hampir semuanya tinggal kenangan sejarah tanpa kesan tinggalan bukti.

Yahudi mengganti sejarah Islam dengan cerita dongeng yang direka dan dipaksa untuk diajarkan dari satu generasi ke generasi lain. Mereka beranggapan bahawa Yahudi mempunyai peranan atau kaitan sejarah di kota suci tersebut, tetapi anggapan tersebut tidak pernah terbukti secara geografi dan sejarah. Oleh sebab itu, mereka membuat sejarah sendiri lalu merubah tapak-tapak sejarah Islam dan menggantikannya dengan kesan atau tapak sejarah baharu yang bersumber dari cerita dongeng belaka, dengan harapan ianya akan bertukar menjadi sebuah kota Yahudi.

Inilah fakta yang terjadi di Al-Quds, tempat berdirinya Masjid Al-Aqsa.

Sebagai contoh, sekarang sudah tidak ada lagi perkampungan orang-orang Moroko (Morocco District) yang terletak di sebelah barat dinding burak Masjid Al-Aqsa. Pada tahun 1967, kawasan ini diratakan dengan buldozer dan diganti sebagai tempat ibadah Yahudi yang dinamakan ‘dinding ratapan’ dan juga dibina rumah tempat tinggal Yahudi.

Masjid Al-Aqsa merupakan pusat kekuatan agama tauhid sejak dari awal kemanusiaan. Orang Islam seharusnya mengenali dan mencintai mercutanda agung ini, kerana ianya adalah tuntutan akidah yang banyak disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih.

Penjelasan tentang Masjid Al-Aqsa ini diharapkan dapat menjelaskan bukti-bukti sejarah yang terdapat di dalam kawasan masjid suci, semoga pemahaman yang baik dan benar tentang kawasan, bangunan dan binaan di Masjid Al-Aqsha mampu menjadi sebuah khazanah keilmuan tersendiri dan menjadi benteng pertahanan terhadap pembohongan fakta sejarah.

Lokasi dan sempadan yang disebut sebagai Masjid Al-Aqsa adalah sebuah keseluruhan kawasan yang dikelilingi pagar di dalam masjid. Di sekelilingnya terdapat beberapa pintu masuk, di dalamnya ada halaman yang luas, Masjid Qibli, Qubbatus Shakhrah, musolla Marwani, ruwaq (lorong), kubah, mashthabah (timbunan tanah sebagai tempat untuk menuntut ilmu), sekolah, saluran air dan lainnya.

Di sisinya terdapat beberapa menara masjid. Tidak keseluruhan kawasan al-Aqsa beratap kecuali beberapa bangunan. Inilah yang disebut Masjid Al-Aqsha. Kita akan melihat dan membahas binaan dan tempat penting yang ada di Masjid Al-Aqsa, dan dimulai dari pintu-pintu Masjid Al-Aqsa.

Pintu-Pintu Masjid Al-Aqsa

Masjid al-Aqsa yang mempunyai keluasan 14.4 hektar. Di sana terdapat sepuluh pintu masuk yang sehingga sekarang masih terbuka. Pintu-pintu ini terdapat di sebelah utara dan barat masjid.

Ada empat pintu lainnya sudah tertutup menjadi dinding atas alasan keselamatan. Pintu yang tertutup ini merupakan pintu pagar yang bersempadan langsung dengan kota suci Al-Quds. Pintu-pintu ini terdapat di sebelah timur dan selatan masjid.

Beberapa pintu berada di pagar kota al-Quds dan pintu lainnya berada di pagar Masjid Al-Aqsha. Berikut adalah nama pintu yang terdapat di Masjid Al-Aqsha dan sejarah pembinaannya.

1. Pintu Al-Asbat

Pintu ini terletak di sebelah utara paling kiri Masjid Al-Aqsa. Ia telah diperbaharui pada masa pemerintahan Ayyubiyah pada tahun 610 Hijriah. Pintu ini diperbaharui lagi ketika kerja-kerja renovasi lorong utara.

Pada penjuru pintu di bahagian dalam terdapat tangga yang terhubung terus ke lorong utara, sedangkan pintu di bahagian luar masjid berbentuk persegi panjang melengkung yang runcing dengan lebar sekitar 2 meter dan mempunyai tinggi 4 meter. Pintu masuk ini mempunyai dua daun pintu yang dibuat daripada kayu. Jenis kayu pintu menujukkan ianya dibuat pada zaman kini.

2. Pintu Hittah (Remission Gate)

Pintu ini terletak di antara pintu kuno masjid yang terletak di sebelah utara, di lorong utara. Kedudukannya di antara Madrasah al-Karimiyah dan Madrasah at-Turbah al-Auhadiyah.

Ia diperbaharui pada masa pemerintahan Ayyubiyah tahun 617 Hijriah ketika al-Malik al-Mu’adzam Isa berkuasa.

3. Pintu Al-Atam (King Faisal’s Gate)

Pintu ini berada terletak Pintu Hittah dan Pintu Ghawanimah di sebelah utara Masjid al-Aqsa. Orang-orang Baitulmaqdis menamakannya dengan Al-Atam, yang bererti gelap. Ada beberapa nama lain dari pintu ini, di antaranya Pintu Raja Faisal yang dinisbatkan kepada raja Faisal bin Husain, iaitu raja Syiria yang datang ke Masjid Al-Aqsha pada tahun 1930 M dan masuk melalui pintu ini.

Nama lainnya adalah Pintu ad-Duwaidariyah, karena di sampingnya terdapat Madrasah ad-Duwaidariyah dan pintu ini dinisbatkan kepadanya. Juga disebut sebagai Pintu Syaraf al-Anbiya.

Pintu ini diperbaharui pada masa pemerintahan al-Malik al-Mu’adzam bin al-Malik al-Adil Abu Bakar bin Ayyub dari kesultanan Ayyubiyah pada tahun 610 Hijriah, iaitu ketika kerja-kerja renovasi lorong utara dijalankan.

4. Pintu Al-Gawanimah (Gate of The Bani Ghanim)

Pintu Al-Ghawanimah merupakan pintu pertama di lorong barat. Ia terletak di sebelah timur laut dari Masjid Al-Aqsa. Pintu ini dibina pada masa Umawiyah, dan dikenali juga dengan sebutan pintu al-Walid, dinisbatkan kepada al-Walid bin Abdul Malik. Ia diperbaharui pada masa pemerintahan Ayyubiyah tahun 707 Hijriah ketika lorong barat mula dibina.

Pintu ini agak kecil, bentuknya persegi panjang. Pintu masuknya dibuat daripada kayu dan terdapat satu daun pintu untuk laluan keluar masuk orang. Untuk memasuki pintu ini, seseorang perlu menaiki lapan anak tangga. Di atasnya terdapat rumah penduduk.

Pintu ini pernah dibakar oleh pendatang Yahudi pada tahun 1998, kemudian diperbaiki.

5. Pintu An-Nazir (Al-Nazir Gate)

Pintu An-Nazir juga disebut sebagai Pintu al-Habs, yang bermaksud penjara. Dinamakan dengan Pintu al-Habs kerana ia terletak dekat dengan penjara pada masa kesultanan Uthmaniah. Nama lainnya adalah Pintu al-Majlis.

Pintu ini terletak di sebelah barat Masjid Al-Aqsha. Ia telah diperbaharui pada masa pemerintahan Ayyubiyah pada tahun 600 Hijriah.

6. Pintu Al-Hadid (Iron Gate)

Pintu Al-Hadid terletak di sebelah barat Masjid Al-Aqsha. Pintu ini adalah salah satu daripada beberapa pintu yang merupakan cabang dari Jalan Bab al-‘Amud, iaitu salah satu jalan masuk tembok Al-Quds. Ia dinamakan juga sebagai Pintu Argun kerana diperbaharui pada masa Amir Argun, yang wafat tahun 758 Hijriah. Argun dalam Bahasa Arab bermaksud al-Hadid (Besi).

Jauh di atas pintu ini terdapat ruangan yang pernah digunakan pada masa Mamalik. Di tengah-tengahnya terdapat jendela segi empat yang dikelilingi batu dengan ornament melengkung berbentuk zig zag.

7. Pintu Al-Qatanin (Gate of the Cotton Merchants)

Pintu Al-Qatanin terletak di sebelah barat dari Masjid Al-Aqsa. Ia merupakan antara pintu masjid yang paling utama dan paling besar, sejajar dengan pasar Qathanin. Ketika Sultan Mameluk Muhammad Qalawun berkuasa, beliau telah memerintahkan gabenornya al-Amir Saifuddin an-Nashiri untuk merenovasi pintu ini pada tahun 737 Hijriah.

8. Pintu Al-Mitharah (Ablution Gate)

Pintu Al-Mitharah terletak di sebelah barat Masjid Al-Aqsa, yang mengarah langsung ke tempat mengambil wuduk. Oleh itu ia dinamakan Pintu al-Mitharah, yang bermaksud pembersihan. Pintu ini merupakan sebuah pintu lama, sebagaimana pintu-pintu lainnya.

Ia diperbaharui pada masa pemerintahan Mamalik tahun 665 Hijriah oleh al-Amir Adaghidi, serta tahun 666 Hijriah oleh al-Amir Alauddin al-Bashiri.

9. Pintu As-Silsilah (Chain Gate)

Pintu As-Silsilah terletak di sebelah barat Masjid Al-Aqsa, yang bersilang dengan lorong barat. Sebahagian pendapat mengatakan pintu ini ada dua, bukan satu. Pintu pertama dinamakan As-Silsilah (rantai) kerana diyakini dahulunya terdapat rantai yang tergantung di pintu. Pintu kedua dinamakan As-Sakinah. Pintu kedua ditutup dan akan dibuka hanya dalam keadaan darurat. Pintu yang selalu dibuka adalah pintu As-Silsilah. Pintu ini diperbaharui pada masa pemerintahan Ayyubiyah tahun 600 Hijriah ketika al-Malik al-Adil Saifuddin Abu Bakar memerintah.

Bahagian atas pintu As-Silsilah tertutup oleh kubah, di mana kubah ini berdiri di atas dinding-dinding pintu. Dekorasi kubah sangat indah kerana ia berbentuk persegi lapan. Bagian atas pintu terdapat bangunan berupa ruangan, yang sejarah pembinaanya kembali ke zaman Mameluk dan Kesultanan Uthmaniah.

10. Pintu Al-Magharibah (Marocco Gate)

Pintu Al-Magharibah juga dikenali dengan sebutan Pintu An-Nabi atau Pintu Al-Buraq. Ini adalah kerana diyakini melalui pintu ini Rasulullah SAW masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa ketika malam Israk. Sedangkan ia dinamakan dengan pintu Al-Magharibah kerana pintu ini mempunyai akses langsung ke perkampungan orang-orang Maroko (Morocco district). Kampung ini sudah dimusnahkan dan digantikan dengan perkampungan Yahudi.

Ia telah diperbaharui pada masa Kesultanan Mameluk pada tahun 737 Hijriah ketika Sultan Nasir Muhammad Qalawun berkuasa. Dari arah luar masjid, pintu ini berbentuk melengkung di atasnya. Dari arah dalam masjid, pintu ini berbentuk persegi panjang dengan perbandingan panjang dan lebar adalah 2:3. Ia dibuat dari kayu dengan satu daun pintu. Pintu ini beratapkan dua kubah. Di sebelah utara pintu ini terdapat masjid kecil yang dinamakan Masjid Al-Buraq. Masjid ini dibina pada masa Mameluk pada tahun 707-737 H. Masjid ini berbentuk persegi empat dengan ketinggian mencapai 3 meter.

11. Pintu Al-Janaiz

Pintu Al-Janaiz terletak di sebelah timur Masjid Al-Aqsa. Pagar masjid sebelah timur juga merupakan tembok kota al-Quds. Di tembok ini hanya ada dua pintu, iaitu Pintu Al-Janaiz dan Pintu Ar-Rahmah. Pintu Al-Janaiz khusus digunakan untuk membawa janazah dari masjid ke perkuburan Rahmah, di sebelah masjid. Ia ditutup pada masa Sultan Salahuddin untuk menjaga masjid dan al-Quds dari berbagai serangan.

12. Pintu Ar-Rahmah dan At-Taubah (Az-Zahabi/ Golden Gate)

Pintu Ar-Rahmah merupakan pintu kedua di sebelah timur Masjid Al-Aqsa. Ia terdiri dari dua pintu masuk, yang dinamakan dengan Ar-Rahmah dan at-Taubah. Pintu Ar-Rahmah berada di sebelah selatan dan pintu At-Taubah berada di utara Masjid Al-Aqsa. Suatu ketika dahulu pintu ini terbuka hingga tibanya perang salib. Tentara salib menjadikan pintu ini sebagai pintu masuk untuk menyerang Masjid Al-Aqsa dan Kota al-Quds. Kemudian pintu ini ditutup pada masa Sultan Salahuddin untuk menjaga masjid dan al-Quds dari berbagai serangan.

Di dalam pintu ini Salahuddin menuliskan salah sepotong ayat al-Qur’an dari surah al-Hadid: 13
“Pada hari orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang beriman: Tunggulah kami! Kami ingin mengambil cahayamu. Kepada mereka dikatakan: Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu). Lalu di antara mereka dipasang dinding (pemisah) yang berpintu. Di sebelah dalamnya ada rahmat dan di luarnya hanya ada azab”.

Adapun orang-orang Yahudi dan Nasrani menyebut pintu ini dengan sebutan pintu Az-Zahabi (emas) dan meyakini bahawa Isa bin Maryam akan datang melalui pintu ini pada akhir zaman.

13. Pintu Ats-Tsulasi

Pintu Ats-Tsulasi terletak di selatan masjid dan menjadi pintu masuk ke musolla Marwani. Ia ditutup atas perintah Sultan Salahuddin untuk menjaga masjid dan al-Quds dari serangan. Dalam tahun 1990-an, rejim Zonis membina tangga untuk mencapai pintu ini, demi menguasai musolla Marwani, tetapi dicegah oleh Yayasan al-Aqsa yang dengan segera merenovasi musolla dan menjadikannya sebagai tempat solat. Rancangan Zionis gagal.

14. Pintu Al-Muzdawij

Pintu Al-Muzdawij, yang bermaksud dua, dinamakan sedemikian kerana pintu tersebut berjumlah dua. Ia terletak selatan masjid. Pintu ini dibina sebagai pintu masuk Amir dan Sultan untuk mendirikan solat di Masjid Qibli sebagai imam. Kerana pintu ini berhimpitan langsung dengan istana Bani Umayyah yang berada di selatan masjid, ia ditutup atas perintah Salahuddin untuk menjaga masjid dan al-Quds dari serangan. Ini adalah kerana pagar Masjid Al-Aqsa di sebelah selatan juga menjadi pagar Kota al-Quds.

15. Pintu Al-Munfarid

Tidak banyak bahan sejarah yang menjelaskan tentang Pintu Al-Munfarid kerana keadaannya yang telah tertutup ketika masa Sultan Salahuddin mengalahkan tentera Salib dan membebaskan Masjid Al-Aqsa.

Menara-menara di Masjid Al-Aqsa

Yang dimaksud dengan menara masjid adalah tempat yang dikhususkan untuk melaungkan azan. Pada zaman Nabi SAW tidak ada bangunan khusus tujuan ini. Yang ada adalah sahabat Bilal bin Rabah RA ketika menyerukan azan, di mana beliau naik ke tempat yang lebih tinggi supaya suaranya terdengar hingga jauh.

Orang yang pertama kali membina menara dan menjadikannya sebahagian daripada masjid adalah Ziyad bin Ubayyah pada masa Muawiyah di Basrah, Irak pada tahun 45 Hijriah.

Struktur bangunan menara terdiri daripada tapak, menara, balkoni, kubah dan juga tangga menuju ke atas. Struktur tapak kadang-kadang berbentuk segi empat, silinder atau kon. Balkoni dijadikan sebagai tempat orang untuk melaungkan azan. Biasanya, menara masjid juga merupakan sebahagian daripada senibina keindahan masjid, yang menandakan sejarah pembangunan masjid tersebut.

Terdapat empat menara di Masjid Al-Aqsa dan sejarah pembinaannya kembali ke zaman Mameluki. Ada pendapat yang mengatakan bahawa beberapa menara Masjid Al-Aqsa yang ada sekarang ini berdiri di atas runtuhan menara yang lama, yang sejarahnya kembali pada masa Abdul Malik bin Marwan, iaitu di zaman Bani Umayyah.

1. Menara Pintu Al-Magharibah

Menara ini dinamakan juga Menara Al-Fakhriyah kerana dibina oleh al-Qadhi Syarafuddin Abdurrahman bin Ash-Shahib Fakhruddin Al-Khalili pada masa Sultan Malik Sa’id Muhammad Nasiruddin Barkah Khan dari Kesultanan Mamalik al-Bahriyah pada tahun 677 Hijriah, dengan bentuk seperti yang ada sekarang ini.

Bahagian atas menara ini pernah hancur akibat gempabumi pada tahun 1922 M, kemudian dibina semula pada tahun yang sama. Ini adalah menara Masjid Al-Aqsa yang paling kecil, dengan ketinggian 23.5 meter dan diameter 2.5 meter. Struktur bangunannnya berbentuk empat segi, dan sebahagian tapaknya berhimpitan dengan Masjid an-Nisa’.

2. Menara Pintu As-Silsilah

Menara ini dinamakan juga Menara Mahkamah kerana ia berdampingan dengan Madrasah Tankaziyah yang berubah menjadi bangunan mahkamah pada masa kesultanan Uthmaniah. Ia dibina pada masa Mamalik pada tahun 730 Hijriah oleh Amir Saifuddin Tankiz an-Nashiri pada masa Sultan Malik Nashir Muhammad bin Qalawun dari kesultanan ketiga Uthmaniah, dengan bentuk bangunan seperti yang ada sekarang ini.

Ia direnovasi pada tahun 1922 selepas berlakunya gempabumi. Menara ini terletak di sebelah barat Masjid Al-Aqsa, di samping pintu As-Silsilah di sebelah utara, dan Madrasah Asyrafiyah di sebelah selatan. Madrasah Asyrafiyah kini berubah menjadi perpustakaan Masjid Al-Aqsa.

3. Menara Pintu Al-Ghawanimah

Menara ini berada di timur laut dari Masjid Al-Aqsa, di sudut pertemuan antara pagar utara dan barat masjid. Nama Al-Ghawanimah diambil dari kampung yang berada di sekitar pintu tersebut. Dinamakan juga Menara Qalawun dan Menara As-Sarai pada masa Mameluk. Menara ini dibina pada masa Mamalik tahun 697 Hijriah oleh al-Qadhi Syafafuddin Abdurrahman bin Ash-Shahib al-Wazir Fakhruddin al-Khalili. Ia kemudian diperbaharui pada tahun 730 Hijriah oleh al-Amir Saifuddin at-Tankizi an-Nashiri ketika membina Menara Pintu As-Silsilah. Menara ini adalah menara tertinggi di Masjid Al-Aqsa dengan ketinggian 38.5 meter dan diameter tapak 5.5 meter serta diameter badan menara 4.5 meter.

4. Menara Pintu Al-Asbat

Menara ini berada diantara pintu Al-Asbat dan pintu Hittah, di sebelah utara Masjid Al-Aqsa. Ini adalah satu-satunya menara di utara Masjid Al-Aqsa. Ia dibina pada masa Mameluk pada tahun 769 Hijriah oleh Al-Amir Saifuddin, pengawas dua kota suci (al-Quds dan al-Khalil) ketika Sultan Malik Asyraf Sya’ban bin Hasan bin Sultan Malik Nasir bin Muhammad bin Qalawun memerintah. Informasi tersebut terukir di menara.

Pada tahun 1927, terjadi gempabumi sehinggakan bahagian atas menara ini hancur. Ia kemudian direnovasi pada tahun yang sama oleh Dewan Tinggi Islam dengan merubah bentuk asal. Sekarang ia berbentuk tabung silinder dan menjadi satu-satunya menara dengan bentuk seperti itu. Sebelum terjadi gempa, menara ini dikatakan berbentuk segi empat. Tinggi menara ini mencecah 28.5 meter dengan lebar tapaknya 4.5 meter dan diameter tabung silindernya berukuran 3 meter.

Tempat Solat (masjid dan musolla) di Masjid Al-Aqsa

Keseluruhan kawasan dan binaan berada di dalam pagar masjid dinamakan Masjid Al-Aqsa, walaupun tempat tersebut tidak berbumbung. Setiap orang yang mendirikan solat di sudut-sudut Masjid Al-Aqsa tetap mendapatkan gandaan pahala sepertimana tersebut dalam sebuah hadis riwayat Tabrani,
“Kelebihan solat di dalam Masjdil Haram bersamaan dengan 100,000 solat (di tempat lain), dan solat di dalam masjidku ini (Masjid Madinah) bersamaan 1000 solat. Dan solat di Masjid Al-Aqsa bersamaan 500 solat.”

Di dalam Masjid Al-Aqsa terdapat beberapa tempat solat yang berbumbung.

aqsa-masjid

1. Masjid Al-Qibli

Masjid Al-Qibli juga disebut sebagai Al-Jami’ Al-Qibli. Umumnya orang mengenalinya dengan panggilan Masjid Al-Aqsa, padahal panggilan itu tidak tepat kerana ia merupakan salah satu bahagian daripada Masjid Al-Aqsa yang terdiri daripada tanah dan bangunan serta binaan lain.

Ia terletak di sebelah selatan Masjid Al-Aqsa iaitu tempat paling hujung mengarah kiblat. Kerana kedudukannya arah kiblat, maka dinamakan dengan Al-Qibli.

Masjid al-Qibli dibina oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan dari Bani Umayyah dan disempurnakan pada masa anaknya Al-Walid bin Abdul Malik antara tahun 86-96 Hijriah. Ketika dibina pertama kali, masjid ini mempunyai 15 lorong, kemudian diperbaharui menjadi tujuh lorong seperti sekarang ini oleh Az-Zahir li I‘zazi Dinillah pada masa dinasti Fathimiyah, setelah terjadi gempabumi.

Sejarah awalnya, ketika Khalifah Umar bin Khathab RA datang ke Al-Quds untuk membebaskan Baitulmaqdis pada tahun 15 Hijriah, beliau bertanya kepada Ka’bu Al-Ahbar tentang lokasi yang baik untuk membina tempat solat. Ka’bu Al-Ahbar menjawab: Menghadap ke ash-Shakhrah, sehingga dapat menghimpun kiblat Nabi Musa dan Nabi Muhammad. Tetapi Umar RA menolak usul ini dan memilih tempat yang sekarang terbinanya Masjid Al-Qibli. Kemudian Umar membina masjid yang dikenali dengan nama Jami’ Umar (Masjid Umar).

Bahan bangunan masjid terdiri daripada kayu dan batang pohon sebagaimana Masjid Nabawi dahulu. Pada waktu itu ia dapat menampung 1,000 orang ahli jamaah. Kemudian ia diperbaharui dan diperluas oleh Khalifah Mu’awiyah bin Sufyan sehingga dapat menampung 3,000 orang.

Ketika tentera Salib menguasai al-Quds, mereka membahagi Masjid Al-Qibli menjadi tiga bahagian: Pertama, dijadikan sebagai pejabat komando pimpinan tentara Salib. Kedua, Masjid Al-Qibli dijadikan tempat tinggal pasukan berkuda dan ketiga, dijadikan gereja. Ketika Salahuddin Al-Ayyubi membebaskan Al-Quds pada tahun 583 Hijriah, beliau mengembalikan fungsi Masjid Al-Qibli sebagaimana sebelumnya.

Masjid Al-Qibli sering direnovasi pada beberapa masa pemerintahan Islam, di antaranya pada masa Mameluk, masa Utnmani dan ketika awal penjajahan British ke atas Palestin.

Masjid ini terdiri dari satu lorong besar di tengah dan tiga lorong masing-masing di sisi kanan dan kirinya. Ia memiliki satu kubah besar yang terbuat dari kayu di sisi dalamnya dan dilapisi timah di sisi luarnya, dengan tinggi 17 meter. Panjang masjid ini mencapai 80 meter dan lebarnya 55 meter. Luasnya mencapai 4000 meter persegi. Di dalamnya terdapat 11 pintu masuk dan sekarang ini dapat menampung 5500 orang ahli jamaah.

2. Masjid Kubah ash-Shakhrah

Masjid Kubah ash-Shakhrah adalah salah satu mercu bangunan Islam terkenal di dunia. Ia dibina oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Pembinaannya bermula pada tahun 66 Hijriah dan selesai pada tahun 72 Hijriah. Pembinaan ini diketuai oleh dua orang arkitek, iaitu Roja’ bin Hiwah al-Kanadi yang merupakan seorang tabi’in yang berasal dari kota Bisan di Palestin, dan Yazid bin Salam, iaitu anak didik Abdul Malik bin Marwan yang juga seorang arkitek bangunan dari tanah Al-Quds.

Bangunan bersegi lapan ini merupakan antara bangunan yang paling baik. ia terletak di tengah-tengah jantung Masjid Al-Aqsa. Di tengah bangunan ini terdapat ash-Shakhrah al-Musyarrafah (batu yang dimuliakan). Posisi ash-Shakhrah berada di ketinggian 1.5 meter dari tanah dan bentuknya tidak sekata.

3. Musalla Al-Marwani

Musalla Al-Marwani terletak di sebelah tenggara Masjid al-Aqsa. Ia dibina pada masa Umawiyah dengan tujuan agar halaman sebelah selatan dan utara Masjid Al-Aqsa sama rata. Oleh kerana itu, dahulu bangunan ini dikenali dengan nama “Taswiyah Syarqiyah” (Pemerataan Tanah Bahagian Timur). Bangunan besar ini mempunyai keluasan lebih dari 4000 meter persegi.

Musalla ini terdiri dari 16 lorong. Ini merupakan tempat solat beratap terbesar yang ada di Masjid Al-Aqsa. Tentera Salib menjadikan musolla ini sebagai kandang kuda, sehinggalah Salahuddin membebaskannya. Ketika Shalahuddin membebaskannya, beliau mengembalikan fungsi bangunan ini sebagaimana asalnya, iaitu sebagai tempat pemerataan antara bahagian utara dan selatan Masjid Al-Aqsa dan sebagai tempat penyimpanan (gudang) sehinggalah Zionis menjajah kawasan Masjid Al-Aqsa.

4. Masjid Al-Aqsha Al-Qadim

Masjid Al-Aqsha Al-Qadim biasanya disebut sebagai Masjid Al-Qadim. Ia merupakan bangunan kuno yang terletak tepat di sebelah selatan Masjid Al-Aqsa dan di bawah Masjid Al-Qibli.

Masjid ini dibina pada masa Umawiyah dan terdiri daripada dua lorong. Lorong ini mengarah ke Pintu Al-Muzdawij, iaitu pintu di selatan Masjid Al-Aqsa yang sudah ditutup. Dari pintu Al-Muzdawij ini boleh menuju terus ke istana Umawiyah di selatan masjid.

Tujuan pembangunan masjid Al-Qadim adalah untuk meratakan bahagian selatan halaman al-Aqsa agar sama rata dengan bahagian utara.

Selama berabad-abad, Masjid Al-Qadim tidak terurus dan banyak debu serta batu hinggalah dibuka kembali pada tahun 1420 Hijriah oleh Yayasan al-Aqsa untuk pembangunan kota suci. Masjid ini dapat menampung 1,000 orang ahli jamaah solat di dalamnya.

5. Masjid Al-Buraq

Masjid Al-Buraq terletak di barat daya Masjid Al-Aqsa dan berada di bawah pintu Al-Magharibah. Untuk memasukinya, seseorang perlu melalui tangga turun dari ruwak gharbi (lorong barat). Terdapat 38 anak tangga menuju ke bawah. Masjid ini dibuka pada hari Jumaat untuk diziarahi.

Ia dinamakan Al-Buraq kerana tempat tersebut dipercayai sebagai tempat Nabi Muhammad SAW meletakkan kendaraannya Buraq pada malam Israk dan Mikraj. Di dalamnya terdapat ‘halqah’ (lingkaran besi) Utsmaniyah, yang disebutkan di sinilah tempat Nabi SAW mengikatkan kendaraannya pada malam tersebut.

Di sebelah barat masjid, dahulunya terdapat pintu yang dinamakan Pintu Al-Buraq. Pintu ini sudah ditutup setelah masa Umawiyah. Pintu ini boleh membuka laluan terus ke halaman buraq yang berada di luar Masjid Al-Aqsa.

6. Masjid Al-Magharibah

Masjid Al-Magharibah terletak di sudut barat daya Masjid Al-Aqsa atau sebelah selatan dinding Al-Buraq. Masjid ini mempunyai dua pintu, satu di sebelah utara (sekarang tertutup) dan satu lagi sebelah timur (terbuka). Masjid ini dibina oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 590 Hijriah. Ketika itu ia diguna sebagai tempat solat mazhab Imam Malik. Sekarang ini Masjid Al-Magharibah diguna sebagai ruangan utama muzium Islam. Muzium ini diwujudkan sejak tahun 1929 M, yang merupakan perpindahan dari Rabat pada masa al-Manshury ke masjid ini.

7. Masjid An-Nisa’

Masjid An-Nisa terletak di dalam Masjid Al-Aqsa. Ia merupakan bangunan besar di sisi barat Masjid Al-Qibli, terbentang hingga ke dinding barat Masjid al-Aqsa. Ada yang mengatakan, masjid ini dibina pada masa tentera Salib menguasai Masjid Al-Aqsa untuk dijadikan gereja di dalam masjid. Kemudian datang Salahuddin dan membersihkan tempat tersebut serta menjadikannya tempat solat untuk wanita.

Sekarang ini Masjid An-Nisa’ dibahagi menjadi tiga bahagian: pertama, untuk tambahan bangunan muzium yang berada di paling barat masjid, kedua untuk perpustakaan umum yang berada di tengah, dan ketiga untuk gudang (menempel di dinding masjid Al-Qibli).

Semoga seluruh umat Islam benar-benar mengenali Masjid Al-Aqsa yang sedang diidam-idamkan oleh Zionis ini. Masjid Al-Aqsa adalah milik dan tanggungjawab seluruh umat Islam, bukan hanya penduduk Palestin mahupun bangsa Arab sahaja.

Menjadi satu kewajipan atas setiap orang Islam untuk bangun menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan, serta mempertahan Masjid Al-Aqsa dan seluruh bumi Palestin.

——–

Ditulis semula berpandukan tulisan asal Ustadz Salman Al-Farisy dalam buku “Ensiklopedia Mini Masjid Al-Aqsha.”

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts