Zionis mahu supaya dunia lupakan Mavi Marmara

KUALA LUMPUR, 1 Jun 2016 (BHP) — Genap enam tahun lalu di tengah perairan antarabangsa Mediterranean dalam kegelapan malam yang sunyi, 700 relawan peserta konvoi laut kemanusiaan Freedom Flotilla dikejutkan dengan serangan maut komando tentera laut Zionis.

Sebelas relawan maut, sembilan daripadanya dibunuh di atas kapal Mavi Marmara. Lebih 60 yang lain tercedera. Semua peserta samada lelaki mahupun wanita, remaja atau warga emas, didera, diculik dan ditahan dalam penjara di Beersheba dan beberapa pusat tahanan lain.

Insiden bersejarah 31 Mei 2010 itu sekaligus membuka mata warga media dan masyarakat dunia, bukan hanya ke atas kekejaman yang dilakukan terhadap sebuah misi kemanusiaan, bahkan juga kekejaman berterusan yang sedang dilakukan ke atas masyarakat di Gaza, yang menjadi destinasi pelayaran konvoi tujuh buah kapal tersebut.

Susulan insiden serangan ganas itu, dunia menyaksikan bagaimana rejim Zionis ditekan dari berbagai arah. Masyarakat dunia tanpa mengira bangsa dan agama turun berdemonstrasi membantah tindakan tentera Zionis, menzahirkan solidariti terhadap Gaza.

Lebih mencemaskan lagi bagi rejim Zionis, buat pertama kali dalam sejarah pemimpin tertinggi mereka didakwa di beberapa buah mahkamah termasuk di Turki, Amerika dan juga Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Hubungan dua hala kerajaan Turki dan rejim Zionis menjadi lumpuh, sehingga pihak rejim hampir terpaksa akur kepada tiga tuntutan utama Turki; meminta maaf atas serangan ganas mereka, membayar pampasan kepada mangsa, dan membebaskan sepenuhnya sekatan ke atas Gaza.

Pada 22 Mac 2013, Benjamin Netanyahu secara rasmi telah memohon maaf kepada Recep Tayyip Erdoğan, mengakui berlakunya “kesilapan” dalam operasi mereka menangani konvoi Freedom Flotilla.

Kemudian, dengan penuh helah rejim Zionis berjanji untuk “membayar ganti rugi” kepada keluarga semua mangsa yang terkorban, dengan syarat tiada tuntutan dibuat melalui proses perundangan. Zionis bahkan tidak mahu bayaran itu dianggap sebagai pampasan, tetapi hanyalah sebagai “sumbangan” kepada keluarga mangsa yang akan disalurkan melalui pertubuhan-pertubuhan kebajikan Yahudi yang ada di Turki.

Syarat ketiga? Kita pernah mendengar tentang cadangan supaya dibina sebuah pelabuhan untuk Gaza, dan membekal tenaga elektrik menggunakan janakuasa di atas sebuah kapal. Di sini kita dapat melihat bagaimana rejim Zionis dengan penuh helah sekali lagi cuba mengelirukan masyarakat dunia.

Sekiranya wujud apa jua bentuk pelabuhan untuk Gaza sekalipun, semua laluan masuk ke Gaza mestilah melalui sebuah mekanisma pemeriksaan oleh rejim Zionis, samada di pelabuhan Ashdod ataupun di Askelon yang lebih berdekatan dengan Gaza. Begitu juga dengan bekalan elektrik, ia mestilah disalur melalui prasarana pihak berkuasa rejim.

Dengan cara ini, Zionis dilihat “membebaskan Gaza” dari penderitaan, kemiskinan dan pengasingan. Namun, bagi pihak Zionis ia sebenarnya adalah satu pengiktirafan dunia ke atas sekatan mereka yang berterusan ke atas Gaza. Gaza terus berada di bawah cengkaman dan syarat-syarat mereka, tetapi kali ini dibuat secara sah bahkan mendapat pengiktirafan dunia.

Tekanan yang sedang dihadapi oleh pemerintah Turki; dari isu pelarian, hubungan dengan Rusia, peperangan di negara jiran Syria, sehinggalah ancaman keganasan dalam negara, semuanya di ambil kesempatan sepenuhnya oleh rejim Zionis untuk meredakan isu Mavi Marmara dan menjalin semula hubungan dua hala.

Kini setelah enam tahun berlalu, dunia seakan melupakan peristiwa Mavi Marmara. Bahkan Gaza juga hampir dilupakan, seolah-olah menunggu sehingga satu lagi serangan tentera Zionis dicetuskan.

Sambutan ulang tahun memperingati peristiwa hitam kemanusiaan itu hanya kedengaran di Istanbul dan juga Gaza. “Semangat Mavi Marmara” kini telah pudar, hampir terkubur dari mata masyarakat dunia.

Sambutan ulangtahun memperingati peristiwa Mavi Marmara di Taksim Square, Istanbul Sabtu lalu.

Rejim Zionis juga melobi supaya kes-kes yang difailkan terhadap mereka digugurkan.

Bagi mereka, Mavi Marmara dan peristiwa yang diharunginya kini hanya sesuai dimuatkan dalam arkib sejarah, dan tidak diungkitkan lagi untuk generasi akan datang.

“Kita mesti sentiasa ingat kepada peristiwa Mavi Marmara. Kita mesti ceritakan kepada generasi akan datang,” kata Hüseyin Oruç, Timbalan Presiden IHH Humanitarian Relief Foundation dalam kunjungan beliau beramah mesra bersama alumni Mavi Marmara di sini, semalam. “Benar, ia sekali-kali tidak akan berulang lagi. Dan kita tidak mahu ianya berulang. Tetapi anda semua mewarisi satu sejarah besar kemanusiaan. Kita mesti sentiasa mengingati visi Mavi Marmara supaya dapat diteruskan oleh generasi akan datang.”

Apakah visi Freedom Flotilla?

Mampukah, pada hakikatnya, Mavi Marmara berhadapan dengan kejahatan Zionis? Tidak. Bahkan bukan itu matlamat pelayarannya.

Tetapi Mavi Marmara telah bergerak menyambung langkah-langkah pencinta kedamaian terdahulu, yang bercita-cita supaya kekejaman Zionis ke atas bumi Palestin dan penduduknya dihentikan, keamanan dan keadilan subur kembali di bumi anbiyak itu.

Bermula dengan tekanan supaya sekatan ke atas Gaza dihapuskan, kita ingin melihat supaya nanti masyarakat Palestin hidup bebas sepertimana bangsa lain. Kemudian nanti, dengan sokongan dan solidariti kita juga, mereka akan mara memerdekakan Masjid al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, dan seluruh bumi Palestin dari genggaman kejam rejim Zionis.

Hüseyin Oruç

“Kita tidak mengharapkan sebarang balasan atau pengiktirafan di atas apa yang kita [relawan Mavi Marmara] korbankan,” tegas Hüseyin. “Apabila kita mendesak dibayar pampasan, bukan kerana kita inginkan wang, tetapi untuk menghukum dan memberi tekanan kepada rejim Zionis. Bahkan semua keluarga rakan kita yang terkorban telah berikrar, bahawa sekiranya mereka [rejim Zionis] membayar 1 Lira, maka keluarga ini akan terus menghantar 2 Lira ke Palestin.”

Mavi Marmara hanyalah salah satu langkah ke arah membebaskan al-Aqsa.

Semoga Allah merahmati roh semua relawan Mavi Marmara yang telah rela mengorbankan diri mereka untuk al-Aqsa. Semoga Allah meredhai mereka.

Pengorbanan dan semangat juang yang dibawa oleh Mavi Marmara harus diteruskan bagi menyatukan hati mereka yang cintakan kedamaian, sehinggalah seluruh bumi Palestin dibebaskan dan kezaliman Zionis dikuburkan.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts